Selamat Datang Ke Laman Blog Selasih Belantara...

Thursday, May 28, 2009

Kata-kata Hikmah

# Manusia seringkali teruji tentang KESETIAAN dalam kehidupannya, namun hanya KASIH-SAYANG yang sejati sahaja yang mampu menyedarkan bahawa mereka sebenarnya telah MEMILIKI dan DIMILIKI..
# Memang payah untuk kita menilai orang lain.. Tapi untuk menilai diri kita sendiri jua kadang-kadang jauh TERLEBIH payah dari itu..

# Setiap kali hadirnya pagi, kita sering tertanya-tanya apakah yang bakal kita tempuhi nanti. Apakah hari ini lebih baik dari semalam atau hari ini sekadar untuk menyudahkan sisa-sisa yang masih TERTANGGUH di hari semalam..

# Tidak mengapa jika SEMALAM kita TEWAS lalu terpaksa undur satu langkah ke belakang.. Mungkin justeru sebuah kegagalan itu, kita mampu bangkit lalu mengumpul sepenuh kekuatan untuk mengatur sepuluh langkah lagi ke hadapan di HARI ESOK..

# Sesungguhnya “MEMBERI” itu jauh lebih baik daripada “MENERIMA” .. Namun sebuah penerimaan yang tulus ikhlas adalah jauh terlebih baik daripada sebuah pemberian yang mengungkit dan menyebutnya berkali-kali..

# Orang yang bijaksana tidak akan sekali –kali mentertawakan kebodohan orang lain sebaliknya dia akan cuba menyelami jauh ke dasar diri untuk menilai sejauh mana kecerdikannya yang dianugerahi..

# Jangan sekali-kali mentafsir masa depan berdasarkan pengalaman silam, sebaliknya kita mesti cuba memperbaiki diri.. Menjadikan setiap pengalaman sebagai teladan dan sempadan.. Untuk melangkah hari depan dengan penuh keyakinan!

# ‘PENANTIAN’ itu adalah garis panduan untuk menguji tahap KESETIAAN dalam diri seseorang. Ia jua merupakan ‘perisa’ untuk menambahkan aroma kasih dan menyedapkan juadah sayang dalam sebuah ikatan..

# Sesungguhnya orang yang takut menghadapi kegagalan tidak akan dapat mencapai kebahagiaan kerana bahagia yang sebenar-benarnya akan datang sesudah kecewa..

# Kehidupan seumpama ombak di lautan. Saling melumba-lumba dalam mengejar sesuatu yang bernama ‘MATLAMAT’..

# KESEDIHAN tidak dapat mengembalikan sesuatu yang telah HILANG..KETAKUTANtidak baik untuk MASA DEPAN..KEKHUATIRAN tidak dapat mewujudkan kejayaan..Akan tetapi, jiwa yang tenang dan hati yang redha adalah 2 SAYAP untuk terbang menuju KEJAYAAN!

# Manusia bisa menipu sejuta manusia dengan seribu kata-kata tetapi dia tidak mungkin dapat menipu dirinya sendiri biarpun dengan hanya sepatah kata..
# Manusia bisa merubah keadaan tetapi keadaan tidak mungkin dapat merubah hati manusia..

# Seandainya..,‘ESOK’ kita tidak mahu diri disakitimaka ‘HARI INI’ janganlah sekali-kali kita melukai kerana ‘LUSA’ pasti akan mengalir darah kecewa yang tak henti-henti!

# Andaikata sebuah senyuman itu diibaratkan setitis embun di pagi hari..Maka sudah pasti ianya bisa menyegarkan kuntuman bebunga hati..Oleh itu, SENYUMLAH! Kerana senyuman itu adalah satu sedekah yang paling mudah diberi..

# Usah mengeluh di saat mentari melabuhkan tabirnya di penghujung hari.., Sebaliknya renungkanlah bagaimana harus kita singkapi tabir esok di kala mentari muncul kembali di ambang pagi. Kerana dari situ, kita akan belajar mensyukuri nikmat Allah yang silih berganti..

# Janji manusia biasa… ada kalanya seperti debu yang berterbangan di udara… manis waktu bersama… tetapi mudahnya berselerak di mana-mana..

# Manusia dan kenangan... Umpama Album dalam tangan, Makin dibelek helaiannya, Makin terasa kehangatan dan keasyikannya hari semalam..

# Sudah menjadi ‘PERKARA BIASA’…Jika kebanyakan orang kaya tidak tahu erti kesusahan kerana mereka memiliki kesempurnaan dalam setiap keinginan…tetapi..’LUAR BIASA’…Jika orang miskin mempunyai keinginan yang mengatasi kemampuan kerana ia bisa merosakkan kehidupan!

# Jangan jadikan diri seperti ‘daun semalu’.. Pantang tersentuh pastitunduk dan layu..SEBALIKNYA..Jadikan diri seperti ‘daun kayu’..Sekali berguguran bisa merubah musim dan waktu!

# Belajar ‘MENYAYANGI’ jauh terlebih payah daripada belajar ‘MEMBENCI’..

# Setiap manusia perlu Redha di atas setiap ketentuan sebagaimana dia belajar mengukir sebuah senyuman di celah-celah kepahitan..

#Kebanyakan manusia hanya berfikir cuma SEKALI apabila berhadapan dengan sesuatu yang disukai..TETAPI..berfikir BERPULUH-PULUH kali dan memberikan beribu-ribu alas an apabila menghadapi sesuatu yang dibenci padahal dia tidak tahu yang mana satu TERBAIK buat dirinya. Ini bermakna tindakan manusia seringkali dipengaruhi NAFSU berbanding AKAL FIKIRAN..

# HIDUP ini bukanlah ‘WAYANG KULIT’.., berkisar di sebalik layar nan sempit.. TETAPI.. HIDUP ini ibarat ‘LAUTAN’.., bergolak badai di sebalik samudera nan luas terbentang!
# Dalam kehidupan, ‘BAHAGIA’ ibarat barang dagangan. Adakalanya.. bahagia diniaga dengan harta.., Adakala.. Bahagia dijual dengan setia.., Adakala.. Bahagia ditawar dengan ucap dan kata.. TETAPI.., Bahagia yang paling berharga ialah bahagia yang dibeli dengan AIR MATA..

Wednesday, May 20, 2009

Puisi Kenangan



Seraut wajah suram,

Selayu kuntum di dada malam,

Buat tatapan seorang insan,

Sebagai sebuah kenang-kenangan..

MEMANG BENAR..,

Kalaulah Aku ibarat beburung ;

Buluku tidak secantik merak,

Suaraku tidak semerdu ketitir,

Sisikku tidak setuah terkukur,

Terbangku tidak sepantas gagak,

Dan paruhku tidak setegap helang..

SEBETULNYA..,

Aku ini cumalah sekadar,

Seekor sang kedidi kerdil,

Merangka-rangkak di celahan,

Belantara kerikil,

Dan berduri onak,

Telahpun kepatahan sayap!

KALAU KAU SUDI..,

Terimalah sekadar apa yang seadanya!

2 ONE TCKN,

12 April 2001,

(dalam kenangan)

Saturday, May 16, 2009


KAU AKAN SELALU BERDIRI DI SITU
[puisi sempena hari guru]
~ARAZMI SEMAN
SMK Temangan, Kelantan

kau telah memilih jalan itu
mengajar mereka untuk memerhati dan mengerti
menyusun bunga-bunga harapan menjadi kalam kebenaran
mengasingkan nestapa membangkit mimpi mewangi
bertahun kau menjahit kejahilan
menukarnya menjadi kepak bestari
menetas bingkai kekecewaan dan meramas duri sangsi
kau akan selalu berdiri disitu

sergah zaman dan kilau musim baru
membawa kita pada cabaran berbeza
kau tetap menunggu di pintu
membawa pedoman menempuh lorong berliku
dimanapun kau berdiri
suaramu akan membangkitkan gema kebenaran
memeta makna pada akal dan bijak tindakan
menjadi penyuluh pada segenap gelap dan kelam
kau akan selalu berdiri disitu
mengajar mereka tentang titik dan warna
menuju sebuah kedewasaan


Puisi ini pernah di siarkan di Radio Malaysia Kelantan
Rancangan: Sudut Karya
Pendeklamasi: Arazmi Seman
Penerbit: Tasikan Yusoff

Friday, May 15, 2009

Puisi Guru Buat Murid (Sajak Hari Guru)


Ayuh!

Bangkitlah wahai muridku,

Buangkan selimut mimpi,

Ketika fajar mengetuk pintu hari,

Mulakan langkah berani,

Membawa Watikah Amanah dan Janji!

Muridku,

Tahukah kau?

Bahawa saban waktu,

Betapa lebatnya dedaun ilmu,

Secepat musim berlalu,

TETAPI..,

Manakan mampu meneduhkan hidupmu,

Jika usahamu kian pantas dihambat jemu,

Muridku,

Cuba kau helakan nafas kentalmu,

Pada Ayah, pada Bonda, jua pada Gurumu,

Bahawa gunung harapan bias kau daki,

Puncak menara bisa kau jejaki,

Dan ketahuilah!

Ketika bibir suria menguntum senyum,

Lalu menghulurkan jemari halusnya,

Serta melambai ucapan ‘SOBAHUL KHAIR’

Dan ‘AHLAN WASAHALAN’ buatmu tetamu terhormatnya…

Maka mengertilah! Bahawa indah cahayanya,

Akan menemani tiap jejak sepatu putihmu,

Menuju teratak ilmu itu..

Yakinlah bahawa kejayaanmu kebanggaanku,

Manakala,

Ketewasanmu kegagalanku,

Muridku,

Biarpun Hari Depanmu,

Masih dalam dua kemungkinan,

Namun biarlah – ‘UTARA’ dan ‘SELATAN’

Menjadi tawanan!

# Karya ini khas ditujukan kepada bekas anak murid SK Kuala Krai (KAFA 1997-2005),seterusnya kepada Anak Didik di Tadika Islam Al-Huda(ABIM) Kuala Krai sekitar tahun 2001 sehingga tahun 2005. Dan akhir sekali buat murid Pra-Sekolah di SK Temalir,Kuala Krai dari tahun 2006 sehinggalah sekarang (2009). Jua tidak dilupakan kepada sesiapa jua yang pernah bergelar ‘MURID’…

HARGAI JASA GURU DULU, KINI DAN SELAMANYA…


Pena ilham,

KMS/Selasih Belantara,

Mei 2001..