Selamat Datang Ke Laman Blog Selasih Belantara...

Sunday, December 13, 2009

Cinta Tanpa Hijab


Ada kalanya teramat payah,

Untuk kuucapkan lafaz syahdu,

Syukur buatmu,

Sehingga kelu lidahku,

Di saat aku ukir sesuatu,

Di pinggir waktu..

Tapi tika bibir ini,

Menghitung butir-butir kalimah suci,

Dari firman wahyu-Mu,

Aku pasrah lagi!

KEKASIH..,

Mestikah bibir ini,

Meratapi sebuah suratan,

Yang telah tertulis,

Di atas diari takdir-Mu,

Sedangkan,

Telah pun aku taburkan,

Butiran tasbih pasrah,

Di atas sejadah rindu-Mu?!

Namun kini,

Aku mula mengenali diri,

Tiada apa yang aku miliki,

Cuma sekadar,

Sebuah kekuatan diri..

Hanya sekerdil ini!

Kerana aku sedar,

Milikku kini sebuah CINTA TANPA HIJAB,

Sebuah kasih yang tak terucap,

Antara Aku dan Dia,

Tuhan Rabbul Jalal.

Dan..,

Aku hanya musafir dunia fana,

Yang cuma singgah sebentar,

Sebelum aku dijemput pulang!

Ilham Rasa,

KMS,

Kuala Krai,

Kelantan.

Monday, November 9, 2009

Dua Kuntum Bunga Hati


Dua kuntum bunga hati,

Letaknya di hujung tangkai budi,

Lalu menari-nari ke sana dan ke mari,

Memburu resah kanan dan kiri,

Tatkala ditiup angin pagi,

NAMUN..,

Kelopaknya masih tersusun rapi,

Dalam lipatan janji,

Menanti hari…

Dua kuntum bunga hati,

Harumnya masih tersimpan di sini,

Sedangkan wanginya belayar di lautan,

Meniti gelombang benua penantian,

Menilai kasih sepanjang zaman…

Dua kuntum bunga hati,

PASTIKAH?!

Akan dikucup kebasahan,

Dengan manisnya atma rindu sebuah pertemuan,

Berhujan dengan air mata kesepian,

Berhutang dengan ribuan ringgit kepayahan,

Bergenang dengan titisan peluh kesabaran…

APAKAH?!

Dua kuntum bunga hati,

Yang berputik di hujung dahan kasih,

Akan berkembang sesudah mewangi,

Dan harumnya semerbak..

Bukan untuk semusim,

Bukan dua,

Tapi untuk selamanya,

Sehinggalah tika dan masa,

Merelakan untuk ia bersatu,

Di tangkai waktu..

Lalu mekarlah DUA KUNTUM BUNGA HATI,

Sebagaimana yang dijanji!

Pena ilham,

KMS (dalam kenangan),

Kuala Krai,

Kelantan.

Saturday, September 26, 2009

Ego Seorang Wanita..




Ego seorang wanita..,

Pertahankan diri dari amarah,

Bukan karena menolak lumrah,

Jua..,

Bukan karena membantah fitrah,

Juah sekali membuang Sunnah..

Namun..,

Ada kalanya dia,

Bermain kata di hujung pena,

Lalu menghiris serumpun jiwa,

Pedihnya menular ibarat pedang berbisa..

Benarkah?!

Bahawa dialah wanita durja,

Dialah kaum hawa,

Yang menentang Adam!

Tetapi..,

Berapa ramai yang berani mengiakan,

Bahawa terciptanya Hawa,

Bukan tersurat sebagai hamba,

Juga bukan sekadar mengisi naluri sebagai addi..

Namun..,

Panasnya mampu sehangat api,

Di saat jujurnya dijual beli,

Bahang kasihnya mampu menjadi bara,

Di saat kasihnya dipersia.


KMS (Julai 2001),
Kuala Krai,
Kelantan..

SaLaM LeBaRaN, AmPuN & MaaF DiPiNta SeaNdAiNya tErKaSaR BaHaSa, TeRsIL KaT a, tErMaRaH yG X kEnA, TeRTaNyA yG X TeNtU HaLa, TeRSaSuL yG X SeNgAjA, tErPuKuL KaT mAnA2, tErPeKiK Di TeLiNgA, TeRpInJaM HaRtA BeNdA, tErUmPaT BiLa2, tErMaCaM2 Lg yG X KeNa-MeNgeNa..sEmOgA DiMaaFkAn sEgALanYa…SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MINAL AIDIL WAL FA’IZIN..

Wednesday, August 26, 2009

Semalam Dalam Persoalan



Semalam..,

Betapa baris-baris hati,

Yang pernah aku lewati,

Aku hiasi dengan angka-angka usia,

Sehingga angka itu bertunaskan dewasa,

Tapi mampukah ia membuahkan salam bahagia?!

Semalam..,

Pernah tersingkap sebuah rindu di tabir waktu,

Lalu mentari itu cair digenggam sendu,

Warna sebuah kehidupan,

Tapi siapakah yang mampu menyingkapkan,

Rahsia di sebalik semua itu?!

Semalam..,

Masih dalam persoalan,

Menanti ketentuan,

Yang tiada jawapan!

Ilham Cipta :
kms,
Kuala Krai,
Kelantan.

Monday, August 10, 2009

Dia.. (khas buat seseorang yang bergelar BAPA)


Dia..,

Diakah lelaki itu?

Yang masih menanam senyuman,

Di celahan pohon keresahan,

Walaupun jasadnya cair di panah cahaya,

Pun tersungkur dalam kepenatan..

Dia..,

Diakah lelaki itu?

Yang menyeluk saku usia,

Lalu membilang syiling kecil,

Untuk membelikanku sebatang pena,

Sebuah buku,

Secangkir ilmu,

Pun sebuah harapan!

Dia..,

Maka itulah dia,

Dialah lelaki,

Dialah AYAH,

Dialah segalanya!


Nukilan,

Selasihbelantara,

Kuala Krai,

Kelantan.

,