Limun pagi itu
embun masih belum menitis
kala kau mendatangiku
di kamar mimpi
menunggang kuda semberani.
Tanganku kau paut lembut
mengajak terbang bersama
ke buana sekotah
juga katamu
“Terus nanti ke astana hidupku.”
Ketika pertama kali
kaki kujejakkan di lantai jagatmu
semuanya asing
gharib seluruh.
Namun
lagak dan resammu
telah mendidik jiwaku
menadah hati pada segala
melapangkan dada buat menerima.
Tak ingin lagi aku pulang
bila kau sering menyisip kudup bahagia
bila kau selalu menyelaputiku
dengan selimut damai.
“Sesalkah kau ke sini?”
selamanya tidak
kerana setelah aku terjaga
kau tetap setia
dengan bahagia dan damai
di kedua-dua tanganmu.
No comments:
Post a Comment